Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, mahu menampilkan prestasi kemuncak hanya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan, dengan mendakwa rekod kebangsaan 200 meter yang dilakukannya semalam masih lagi bukan di tahap sebenarnya.

Khairul Hafiz melakar kejutan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia apabila memadamkan rekod berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M. Jegathesan, 20.92 saat, sewaktu Sukan Olimpik Mexico 1968 dengan catatan baru 20.90 saat.

Namun, pelari berusia 19 tahun itu enggan rakyat Malaysia menganggap rekod itu adalah yang tertinggi, sebaliknya percaya masa yang lebih pantas mampu dilakukan dalam Sukan SEA.

Pencapaiannya tidak akan terhenti setakat itu kerana latihan yang padat ketika ini membuktikan betapa dia ingin sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan 100m dan 200m, sekali gus meraih emas di laman sendiri bulan depan.

"Jurulatih meletakkan keyakinan kepada saya bahawa catatan yang lebih pantas mampu dihasilkan. Saya berharap dapat memecahkan rekod tersebut dalam Sukan SEA," kata Khairul Hafiz.

Turut diberi perhatian adalah acara kuartet lelaki 4x100 meter di mana pemilihan empat pelari terbaik daripada enam atlet untuk acara itu hanya akan ditentukan beberapa hari sebelum temasya bermula.

"Enam atlet dibawa ke Sukan SEA untuk acara 4x100m tetapi empat yang terbaik akan dipilih untuk menggalas tanggungjawab itu nanti," kata jurulatih olahraga negara, M. Balamurugan.

Dalam pada itu, bekas pelari pecut negara, Jegathesan, Watson Nyambek dan Nazmizan Muhammad mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dihasilkan oleh atlet berusia 19 tahun itu.

"Selepas kami menghasilkan satu rekod yang baru, kami menjangkakan ia akan dipecahkan dan 49 tahun merupakan satu tempoh yang sangat lama.

"Khairul Hafiz tiba tepat pada masanya dan saya sudah menjangkakan dia mampu melakukannya selepas mempamerkan perkembangan yang sangat baik," kata Jegathesan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Khairul Hafiz kerana melakukan catatan baru tersebut," kata Watson pula.

"Selepas memecahkan rekod Watson (100m) dalam Sukma tahun lalu, Khairul Hafiz kini melakar kejayaan dalam acara 200m dan berharap dia dapat mengekalkan prestasinya," kata Nazmizan.