Sarawak membuat pelaburan besar bagi mengindustrikan sukan di negeri itu, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, berbanding peruntukan tahunan sekitar RM3 juta setahun, kementerian tersebut telah memperoleh tambahan sehingga RM10.9 juta bagi mencapai sasaran sebagai sebuah "kuasa sukan" di rantau ini.

"Kami juga telah melabur untuk membina pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan Sukan Olimpik.

"Justeru, penting untuk kita melahirkan atlet-atlet berkualiti, setara dengan kemudahan yang disediakan," katanya ketika ditemui sempena Sukan Sarawak (SukSar1) di Stadium Perpaduan Negeri, hari ini.

Ia kejohanan pertama seumpamanya diadakan selepas 27 tahun, yang lazimnya menjadi gelanggang untuk memilih atlet yang akan mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun berikutnya.

Kejohanan yang dibahagikan kepada empat zon ini bertujuan mencungkil bakat sukan di peringkat akar umbi dan di luar kerangka pencarian bakat sedia ada.

Kata Abdul Karim lagi, dana besar itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan jaguh-jaguh sukan bertaraf dunia seperti Pandelela Rinong dan Watson Nyambek.

Pada masa ini, katanya, Sarawak aktif menjalankan kejohanan sukan peringkat antarabangsa sebagai usaha menggalakkan pelancongan sukan sambil memberi pendedahan bertaraf dunia untuk atlet tempatan.

"Pada tahun ini sahaja, negeri ini telah menjadi tuan rumah kepada 11 kejohanan sukan antarabangsa, antaranya Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, Kejohanan Terjun Sirkit Dunia FINA dan Kejohanan Tenis Antarabangsa.

"Pada 2019, Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Paralimpik Dunia yang akan menghimpunkan peserta dari 80 negara dengan membabitkan lebih 1,000 atlet dari seluruh dunia.

"Pada tahun yang sama, kami juga akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Masters Asia yang akan menghimpunkan bekas jaguh-jaguh Asia dalam sukan olahraga," jelasnya lagi.

Mengharapkan kejayaan dalam SukSar1 ini, Abdul Karim berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk muncul juara Sukma 2018 di Perak setelah gagal melakukannya tahun lalu.