Saizul panggil tenaga muda

Oleh Staff Writer 8 Mei 2018 1524
Saizul panggil tenaga muda
Jurulatih skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Saizul Hafifi Md Noor, mengambil langkah berani apabila memanggil tiga pemain remaja bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Keputusan itu diambil setelah Saizul terpaksa melepaskan dua tonggak senior, Muhammad Azim Baharuddin dan Badrul Muktee, yang terikat dengan komitmen kerja dan pelajaran.

Situasi itu secara tidak langsung memberi peluang kepada muka baru untuk diserap masuk, khususnya Amalul Hazim Nasarrudin yang kali pertama dipanggil menyertai latihan kem kebangsaan.

Dua lagi pemain yang turut dipanggil adalah Safiey Mat Said dan Nur Azmi Saruman.

"Sudah lama saya memasang impian untuk membarisi skuad negara. Apabila menyertai pasukan, saya berasa kerdil tetapi harus membiasakan diri," kata Hazim.

"Saya berasa gembira apabila dipanggil menyertai skuad senior walaupun gugup pada peringkat awal," tambah Safiey pula.

Daripada 17 pelatih yang ada dalam skuad negara ketika ini, hanya 12 yang akan disenarai pendek ke Indonesia.

Dalam masa sama, dua kejohanan jemputan di Sepanyol, iaitu di Benidorm dan Valencia akan bermula pada 28 Mei ini untuk menjadi sebahagian daripada proses penilaian.

"Bagi saya, memang ia cabaran yang sengit. Sememangnya tarafnya tidak setinggi Komanwel tetapi masih relevan dan terbaik di Asia," ujar Saizul.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen