Saizul Hafifi sasar separuh akhir buat skuad ragbi negara

Oleh Staff Writer 19 Mei 2019 339
Saizul Hafifi sasar separuh akhir buat skuad ragbi negara
Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sepasukan negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, menyasarkan sekurang-kurangnya pusingan separuh akhir dalam saingan Kejohanan Hokkaido Barbarians di Jepun bulan depan. 

Hafifi mengekalkan sebahagian daripada pemain yang beraksi dalam saingan Hokkaido Barbarians tahun lalu tetapi menjelang edisi kali ini, beberapa muka baru akan diserapkan ke dalam pasukan. 

Dalam masa yang singkat, dia mengharapkan skuad kebangsaan dapat membentuk keserasian bagi mendapatkan keputusan cemerlang di Jepun, sekali gus mengambil pendedahan itu sebagai kelebihan buat mereka beraksi dalam kejohanan akan datang. 

Antara cabaran lain yang dihadapi mereka adalah aksi persahabatan yang berkurangan sejak bermula bulan Ramadan.

"Saya masih mahu melihat prestasi pemain yang baru dimasukkan ke dalam program. Kami juga mahu melihat tahap kecergasan sebelum menuju ke Sukan SEA 2019," katanya.

Bagaimanapun, dengan kepimpinan kapten pasukan, Muhammad Ameer Nasrun, Saizul Hafifi optimis anak buahnya bakal mempamerkan aksi cerdas dan bermain untuk tempat yang terbaik di Sapporo nanti. 

"Tahun lalu, format yang digunakan adalah round robin dan kami hanya ada enam pasukan. Tahun ini, saya rasa format akan berbeza tetapi kami akan cuba sasarkan pencapaian terbaik di Sapporo," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen