Bekas jaguh badminton perseorangan negara, Sairul Amar Ayob, memuji kesungguhan atlet judo Perak, Fatin Izzati Ahmad Rosdi, dalam usaha membersihkan namanya daripada isu doping dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 hingga didapati tidak bersalah.

Fatin memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan kes dopingnya selepas dikesan positif triamcinolone acetonite.

Juara kategori bawah 63kg Sukma 2018 itu turut berkongsi maklumat dengan Majlis Sukan Negeri Perak, doktor perubatan, Persatuan Judo Malaysia (PJM) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum disahkan tidak bersalah.

Sikap seperti itu patut dicontohi atlet lain jika terbabit dengan kes doping pada masa depan.

"Pengalaman yang dilalui oleh Fatin harus dipuji kerana atlet-atlet harus berani menyuarakan hak mereka jika berada pihak yang benar," kata Sairul.

Sairul mencatat sejarah sebagai atlet pertama negara terlepas hukuman kes doping selepas ujian sampel B didapati negatif bahan jenis dexamethasone pada 2006.

Selepas 12 tahun, Fatin mengikut jejak langkah sama apabila Jawatankuasa Siasatan PJM mendapati dia tidak mengisytiharkan penggunaan triamcinolone acetonite dalam borang Therapeutic Use Exemptions (TUE) ketika ujian doping.

Bahan itu disuntik doktor yang merawatnya ekoran kecederaan.