Keningau berpeluang memenangi dua pingat emas bagi acara hoki Sukan Sabah (SAGA) apabila pasukan lelaki dan wanita mereka mara ke final.

Skuad lelaki Keningau menang mudah 4-0 ke atas Kota Belud pagi tadi dan lawan mereka dalam final nanti adalah juara bertahan, Kota Kinabalu, yang terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Papar 6-5 menerusi penentuan pukulan penalti.

Sementara itu, dalam aksi separuh akhir kategori wanita semalam, Keningau turut tidak menghadapi masalah untuk ke final selepas mudah menewaskan Kudat 3-0 dalam separuh akhir.

Lawan Keningau dalam final ialah Tawau, yang menundukkan Tenom 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Dalam perkembangan lain, Sandakan muncul pemenang pingat gangsa acara bola sepak wanita selepas menewaskan juara bertahan, Tenom, 2-0 pagi tadi.

Final bola sepak wanita di Kompleks Sukan Tambunan petang ini akan menyaksikan pertembungan di antara Tambunan dan Kota Kinabalu.