Sukan Sabah (SAGA) Ke-9 yang berlangsung di Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan secara rasminya melabuhkan tirainya hari ini.

Majlis penutupan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, di Kompleks Sukan Keningau dengan dihadiri ribuan orang.

SAGA kali ini menyaksikan Kota Kinabalu (KK) muncul juara keseluruhan, diikuti Keningau, serta Tawau, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, atlet berbasikal Tawau, Steven Lee Vui Lin, dinobatkan sebagai Olahragawan kejohanan manakala atlet memanah Kota Kinabalu, Kaitlyn Hannah Sernam, dipilih sebagai Olahragawati.

Steven, 17, terpilih berdasarkan pencapaian merangkul empat pingat emas di samping satu perak.

Kaitlyn pula terpilih berdasarkan peranan pentingnya membantu Kota Kinabalu merangkul tiga pingat emas dalam acara recurve perempuan dan recurve elimination olympic round serta satu emas dalam acara recurve campuran elimination olympicc round.

Selepas memeriahkan kawasan pedalaman Sabah tahun ini, SAGA bakal kembali ke Kota Kinabalu untuk temasya kali ke-10 pada 2021.