Kontinjen Kota Kinabalu menambah dua lagi pingat emas, sekali gus menjadikan mereka sebagai pemenang emas paling banyak bagi acara karate dalam Sukan Sabah (SAGA) 2017.

Pada hari terakhir acara berkenaan di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan, hari ini, emas pertama mereka disumbang pasukan kata wanita yang dibarisi Juslin Juman, Olevia Demuius dan Nur Ayeen.

Pasukan kata lelaki mereka yang dibarisi Kenlorenson Nam, Brad Wales Wong dan Ivan Charles juga cemerlang selepas turut berjaya merangkul emas

Sementara itu, Tenom dan Putatan masing-masing turut memenangi dua pingat emas hari ini.

Racheal Joe menceriakan kontinjen Tenom selepas memenangi dua pingat emas, masing-masing bagi kategori kumite bawah 50kg dan kumite bawah 55kg.

Berly Ashley Blantocas dan Mc Royce Donovan Dagul pula masing-masing menyumbang emas buat Putatan menerusi acara kumite lelaki bawah 67 dan kumite lelaki bawah 75kg.

Lain-lain pingat emas dimenangi Siti Nuur Waan Ngandrok (Sandakan) menerusi kategori kumite wanita bawah 50kg, Pg Azhar Azlan (Tuaran) bagi kategori kumite lelaki bawah 60kg serta Muhammad Danial Mustapha (Beaufort) untuk kumite lelaki bawah 84kg.