Jaringan saat-saat akhir Diannie Voo menjulang Keningau untuk muncul juara acara bola jaring Sukan Sabah (SAGA) 2017 selepas menewaskan Lahad Datu 47-46 dalam aksi final di Maktab Rendah Sains Mara (MARA) Sandakan, pagi tadi.

Bagaimanapun, Keningau terpaksa berhempas-pulas sebelum memenangi perlawanan itu selepas ketinggalan 10-15 pada suku pertama dan 24-25 pada suku kedua.

Suku ketiga perlawanan pula menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengejar dan akhirnya kedudukan terikat 33-33.

Pada suku terakhir, perlawanan semakin sengit dengan kedudukan terikat 46-46 sehingga ke minit terakhir permainan.

Bagaimanapun, sedikit kesilapan yang dilakukan pemain Lahad Datu dimanfaatkan sepenuhnya pihak lawan apabila Diannie melakukan jaringan pada saat-saat akhir, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat Keningau manakala Lahad Datu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Terdahulu, Kota Belud muncul pemenang pingat gangsa selepas menewaskan Tongod 58-40 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Keputusan acara lain hari ini (pemenang pingat emas)

Sepak Takraw
Regu bertiga lelaki - Papar
Regu bertiga wanita - Keningau

Kredit foto: Volentine Jiloh (Jabatan Penerangan Sabah)