Sabah sedang merangka satu pelan khas yang dinamakan Pelan Utama Sukan Sabah 2020-2030 bagi membangunkan sukan dan melahirkan atlet ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Negeri, Ginger Phoong Jin Zhe, berkata pelan itu akan memfokuskan pencarian bakat baru, khususnya dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah, untuk dilatih sebagai atlet dalam bidang tertentu.

"Kami sedang merangka pelan untuk mencari bakat baru dalam kalangan kanak-kanak untuk dilatih supaya 10 tahun akan datang, kami akan dapat melahirkan sekumpulan atlet yang berjaya mewakili Sabah bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

"Jadi, saya telah mengarahkan kementerian saya melalui Majlis Sukan Sabah untuk mencari bakat baru di peringkat sekolah dan di peringkat kampung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Piala Ketua Menteri Sabah Ke-15 di Sandakan, hari ini.

Phoong juga berharap Sabah akan berkecimpung dalam sukan baru seperti e-sukan dalam usaha mempelbagaikan jenis sukan di negeri ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan bagi membolehkan Sabah memperoleh lebih banyak peruntukan untuk membangunkan bidang sukan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negeri.

-- BERNAMA