Sabah perlu memiliki kemudahan sukan yang lebih baik sekiranya mahu menjadi yang terbaik atau kuasa besar sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata memiliki kemudahan sukan yang lebih baik adalah kunci utama untuk ke arah itu dan pihaknya akan berusaha bagi menambah baik kemudahan sedia ada.

"Sabah sepatutnya satu kuasa besar sukan dan untuk mengembalikan kegemilangan itu, atlet Sabah perlu dan berhak mempunyai kemudahan sukan yang baik.

"Sebab itulah kami berada di sini (melawat Kompleks Sukan Likas) dan ni adalah titik permulaan jelajah saya.

"Saya akan melawat ke semua 16 kompleks sukan yang ada di negeri ini, bermula hari ini hingga 23 Jun," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, hari ini.

Menerusi lawatan itu, katanya, beliau akan melihat apa peluang yang ada dan bagaimana mempertingkatkan prestasi sukan di negeri ini.

"Matlamat utama ialah untuk mengembalikan Sabah sebagai kuasa besar sukan di Malaysia dan akhirnya kami dapat mengibar tinggi bendera Sabah di peringkat antarabangsa," katanya.

Phoong berkata kementeriannya, bagaimanapun, berdepan masalah kekurangan peruntukan bagi menyelenggara semua kompleks sukan.

"Kami pun faham dengan situasi (kekurangan peruntukan) ini kerana Sabah adalah negeri yang mempunyai paling banyak kompleks sukan di Malaysia, ada 16 semuanya dan beberapa lagi akan dibina.

"Kami tidak mampu menampung kos penyelenggaraan yang tinggi setiap tahun dan oleh sebab itu, saya bersama dengan LSNS (Lembaga Sukan Negeri Sabah) sedang melihat perkara ini dan cuba mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk membiayai kos penyelenggaraan itu," katanya.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Tan Lee Fat, SUT KBS Sabah, Mohd Yusrie Abdullah, Pengerusi LSNS, Dr KH Tan, Pengurus Besar LSNS, Terrance Pudin dan Ahli Lembaga Pengarah LSNS.