"Sudah lama tidak disambut seperti ini" itu antara luahan anggota skuad boling tenpin wanita negara sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, selepas selesai beraksi dalam Kejohanan Dunia Las Vegas 2017.

Skuad negara tiba sekitar jam 1.00 petang daripada Kejohanan Dunia yang menyaksikan pasukan wanita berjaya membawa pulang satu pingat emas dan tiga perak.

Semestinya ia menjadi kepulangan bermakna selepas 10 tahun Malaysia tidak menikmati kejayaan seperti itu dalam Kejohanan Dunia apabila kali terakhir memenanginya di Mexico pada tahun 2007.

Saingan di Las Vegas semestinya bukan sesuatu yang mudah untuk skuad lelaki mahupun wanita dan pencapaian itu menjadi petanda positif kepada mereka menuju ke Sukan Asia, Ogos tahun depan.

"Kami telah lama berada di Amerika Syarikat bagi menghadapi saingan ini, kami sangat gembira kerana dapat pulang mencipta kejayaan buat Malaysia," kata atlet boling tenpin negara, Shalin Zulkifli.

"Ini merupakan salah satu pencapaian terbaik skuad boling negara. Kejayaan meraih emas berpasukan wanita merupakan sasaran utama kami," kata seorang lagi atlet boling tenping negara, Sin Li Jane.