Presiden baru Persatuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Rusni Abu Hassan, mahu memastikan segala permasalahan membabitkan badan induk itu diselesaikan segera demi masa depan sukan berkenaan.

Rusni menjadi pilihan perwakilan MFF untuk jawatan presiden yang dipertandingkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MFF di Wisma MOM, hari ini.

Beliau memperoleh 21 undi berbanding pencabar utama, Shirley Wong daripada Persatuan Lawan Pedang Wilayah Persekutuan (FFTA) yang hanya meraih enam undi.

Ia sekali gus menyaksikan beliau mengambil alih tugas daripada Ahmad Farik Abd Hamid yang menerajui MFF sejak 2005.

Kedudukan timbalan presiden menyaksikan Datuk Alex Sham daripada Persatuan Lawan Pedang Sabah (SFA) menang tanpa bertanding.

Susulan kemenangannya ini, Rusni ingin melihat MFF kembali ke tujuan sebenarnya dalam membangunkan sukan lawan pedang di samping mengukuhkan struktur perlembagaannya seperti yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Saya hanya menitikberatkan perlembagaan sebab rata-rata ahli gabungan mempunyai sedikit masalah. Kami akan bekerjasama dengan Pesuruhjaya Sukan dan mendapatkan sokongan daripada semua.

"Saya rasa kami dapat mengulangi pencapaian dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik," kata Rusni.

MFF menjadi tumpuan selepas PJS mengarahkan mereka segera mengadakan AGM ataupun berdepan dengan hukuman penggantungan yang mendatangkan risiko ketiadaan atlet mereka dalam temasya utama.