"Kalau gugurkan saya, itu satu kerugian," demikian reaksi atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, sebagai menggambarkan dia masih menganggap dirinya relevan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo walaupun penampilannya dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia amat menghampakan.

Mengakui penguasaanya dalam kejohanan penting tahun ini agak hambar, namun itu bukan pengakhiran kepada sasaran utama atlet muda ini yang mahu muncul selaku atlet lempar cakera negara pertama layak ke Sukan Olimpik.

Desas-desus mengatakan nasib beberapa atlet Program Podium akan dikaji semula turut mengaitkan namanya.

Irfan melihat usaha itu hanya menampakkan sifat tidak sabar pihak terlibat memandangkan ini hanya penampilan tahun pertamanya bersama Program Podium.

Tambahan lagi, kontraknya bersama Program Podium hanya akan berakhir penghujung tahun depan.

"Perkara baik memerlukan masa. Jika saya digugurkan, saya tidak boleh berkata apa-apa," kata Irfan.

Ada pengajaran yang cukup berguna buat Irfan dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia, fokus atlet ini masih tidak berubah dengan Kejohanan Dunia di Doha sebagai medan pertamanya mencari tiket kelayakan ke Tokyo 2020.

"Saya perlu menyertai banyak kejohanan tahun depan bagi mengumpul mata."

Kejohanan Asia di Doha yang akan berlangsung pada April 2019 adalah buku baru buat Irfan -- itu adalah peluang terbaik untuk dia membuktikan kelibatnya masih antara yang terbaik di pentas Asia.