Walaupun mengakui saingan kali ini lebih sengit, skuad ragbi Sabah tetap bertekad untuk memenangi kejuaraan Piala Agong buat kali keenam sepanjang sejarah penyertaan mereka.

Ketua jurulatihnya, Brad Mika, berkata beliau positif dengan peluang skuad kendaliannya itu dan berharap anak didiknya mampu memberikan persembahan terbaik dalam separuh akhir Sabtu ini.

"Kami tahu tahun ini lebih mencabar dengan kehadiran pasukan-pasukan kuat seperti Terengganu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Johor dan beberapa lagi.

"Kami tidak mahu kedengaran angkuh untuk memburu kejuaraan tapi sasaran kami memang itu (muncul juara) dan ia terpulang kepada pemain jika mereka benar-benar mahu menjadi juara.

"Buat masa ini, kami akan fokus untuk bertemu lawan pertama, iaitu PDRM (Polis Diraja Malaysia), minggu depan sebelum memikirkan cara untuk menghadapi lawan-lawan lain selepas itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Kesatuan Ragbi Sabah (SRU) di Kota Kinabalu, kelmarin.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Dr KH Tan, Presiden SRU, Velayuthan Tan, dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.

Ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya, Mika memberitahu bahawa mereka telah berlatih sejak tiga bulan lalu, termasuk berkampung di Sandakan, untuk latihan penuh selama tiga minggu.

"Pasukan ini nampak baik pada ketika ini dan kami juga mengekalkan sebahagian besar pemain yang membawa cabaran musim lalu selain beberapa muka baru," katanya.

Sementara itu, bekas pemain All Blacks itu berkata Terengganu adalah pasukan yang perlu diberikan perhatian dalam edisi kali ini.

"Ramai pemain kebangsaan menyertai Terengganu dan sudah pasti mereka adalah pasukan yang sukar untuk dikalahkan," katanya.

Untuk rekod, Sabah menjuarai Piala Agong sebanyak lima kali, iaitu pada 2007, 2009, 2014, 2015 dan tahun lalu.