Ragbi Piala Agong: Perak tekad beri tentangan sengit

Oleh Azizan Hashim 10 Oktober 2019
Ragbi Piala Agong: Perak tekad beri tentangan sengit
Di atas kertas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki kelebihan tetapi Perak bertekad memberi tentangan habis-habisan apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan   Divisyen Satu Ragbi Piala Agong di Ipoh, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Perak, Shah Iran Sahar, mengakui lawan adalah pasukan yang kuat dalam Divisyen Satu yang turut dicabar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan tatkala ATM memiliki pemain import berwibawa serta pemain  berpengalaman.

Namun, berbekalkan kejayaan ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan pembukaan minggu lalu, Shah Iran yakin anak buahnya akan turun dengan semangat juang tinggi.

"Kemenangan dalam perlawanan pembukaan itu memberi semangat dan keyakinan kepada anak buah saya untuk menghadapi perlawanan kedua ini," katanya.

Jurulatih itu berkata Perak menggunakan khidmat pemain muda dan 95 peratus adalah  muka-muka baru yang datang daripada Akademi Ragbi Perak dan beraksi dalam Liga Perak.

Dia juga berkata pasukannya akan memberi cabaran kepada setiap pencabar dalam usaha mencapai sasaran layak ke Liga Perdana.

"Kami telah kenal pasti kelemahan-kelemahan dalam  perlawanan pertama dan akan melakukan perubahan kepada pasukan untuk memastikan pasukan  berada di atas landasan terbaik.

"Tiada ramuan istimewa tetapi semangat juang anak jati Perak yang menjadi senjata dan pembakar  semangat  untuk memburu kemenangan kedua."
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen