​​​​​Pasukan ragbi Johor optimis dan bersedia mempertahankan gelaran juara apabila turun beraksi dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 yang akan membuka tirainya Ahad ini.

Pengurus pasukan, Hasbi Zaidi Hassan, berkata setiap tahun pihaknya komited dalam menyediakan pemain yang mampu menggalas cabaran serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk membawa nama Johor dalam kejohanan itu.

"Alhamdulillah segala persiapan rapi yang dilakukan sejak Ogos lalu berjalan lancar. Sepanjang persiapan itu, kami juga mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk menilai tahap prestasi semasa pasukan.

“Selain itu, kami juga mengambil pendekatan membawa masuk tiga pemain import dari Fiji di mana dua daripada mereka adalah bekas pemain kebangsaan Fiji untuk memantapkan lagi pasukan kami yang hampir keseluruhannya diwakili anak jati Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media kejohanan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sangat berhati-hati dalam memilih pemain import demi mengekalkan kualiti permainan pasukan dalam usaha mengekalkan kejuaraan.

"Kami agak cerewet dalam memilih pemain import. Apa yang kami lakukan adalah kami akan kaji latar belakang setiap pemain yang bakal diambil.

"Buat masa ini, kami sangat berpuas hati dengan setiap pemain import yang diambil. Mereka semua hebat dan ada antaranya pernah mewakili negara Fiji sendiri," katanya yang meletakkan pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedah, Kelantan dan Sabah sebagai pencabar utama.

Pasukan Johor muncul juara edisi lalu selepas menumpaskan Terengganu 32-29 dalam final di Stadium Mini, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Kejayaan itu adalah yang kedua selepas pertama kali memenanginya pada 2013.

-- BERNAMA