Hasrat pasukan dari Australia, Tribe 7s, untuk membalas dendam kekalahan mereka kepada Borneo Eagles dalam final tahun lalu tidak kesampaian apabila tewas 0-19 dalam aksi suku akhir Kejohanan Ragbi Borneo 7s di Sandakan, malam ini.

Dalam aksi yang dianggap 'final ulangan' itu, Borneo Eagles mendahului 7-0 dalam babak pertama hasil try daripada Brody Morris Lam, disusuli conversion oleh Vuga Wakaitolu Tagicakibau.

Bermula separuh masa kedua, Borneo Eagles terus menjarakkan kedudukan hasil try daripada Epeli Sigalele Lotawa dan conversion oleh Vuga bagi menjadikan kedudukan 14-0.

Brody kemudian melengkapkan kemenangan 19-0 Borneo Eagles selepas berjaya melakukan try walaupun selepas itu Solomon Joseph Paraki gagal menyempurnakan conversion.

Dengan kemenangan itu, Borneo Eagles bakal berdepan Sri Lanka dalam separuh akhir kategori piala selepas pasukan itu turut menang suku akhir bertemu Mellowpuff dari New Zealand dalam satu aksi sengit.

Perlawanan di antara Sri Lanka dan Mellowpuff itu terpaksa ditentukan menerusi mata sudden death selepas kedua-dua pasukan terikat 19-19 dalam masa sebenar permainan.

Bagaimanapun, nasib lebih memihak kepada Sri Lanka apabila diberi penalti try oleh pengadil selepas pemain Mellowpuff melakukan hadangan tinggi, sekali gus mengesahkan kemenangan mereka.

Sementara itu dalam satu lagi aksi suku akhir, skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan pasukan dari Australia, Iconz selepas kecundang 7-40.

Iconz bakal berdepan dengan Hong Kong Dragon di separuh akhir selepas pasukan berkenaan tidak menghadapi masalah untuk mengatasi Sabah Eagles 29-7.

Dalam perkembangan lain, kategori wanita menyaksikan juara bertahan, Sri Lanka mara ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah Eagles 46-0 di suku akhir.

Lawan Sri Lanka nanti ialah jaguh Asia Tenggara iaitu Thailand yang menundukkan Sukma Sabah 52-0 di suku akhir.

Sementara itu Hong Kong Dragon yang membelasah pasukan dari Labuan, Islander Women 83-0 di suku akhir bakal berdepan dengan pasukan pilihan Singapura yang turut menang di suku akhir menentang Eagles RFC dengan kedudukan 25-5.