Pasukan Iconz dari Australia muncul juara Kejohanan Ragbi Borneo 7s, sekali gus memecahkan dominasi Borneo Eagles yang sebelum ini sukar digugat kejuaraan mereka dalam kejohanan tahunan itu hari ini.

Dalam aksi final sengit di Kompleks Arena Eagles, Sandakan itu, Iconz yang juga pendatang baru kejohanan berjaya menundukkan Borneo Eagles 17-14.

Iconz bermula garang di awal permainan apabila mendahului lawan 12-0 hasil dua try daripada Karetai Williams dan David Yabsley serta satu conversion menerusi James Armstrong.

Borneo Eagles, yang sebelum ini muncul juara sebanyak tiga kali berturut-turut, kemudian merapatkan kedudukan 12-7 hasil try daripada Curtis Bruce Reid dan coversion oleh Solomon Joseph Paraki.

Bermula separuh masa kedua, Iconz menyukarkan usaha Borneo Eagles untuk mengejar kedudukan apabila melakukan satu lagi try menerusi Tristen Reilly bagi menjadikan kedudukan 17-7.

Bagaimanapun, selepas itu, Borneo Eagles sekali lagi merapatkan kedudukan menerusi try daripada Chad Francis Bracey serta conversion oleh Solomon bagi menjadikan kedudukan 17-14.

Di penghujung permainan, Iconz terpaksa bertahan habis-habisan bagi mengekalkan kedudukan itu dan berjaya melakukannya sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, sekali gus menjulang mereka sebagai juara baru Borneo 7s.

Kemenangan ke atas Borneo Eagles itu juga adalah kali kedua dicapai mereka selepas turut mengecewakan juara bertahan itu di peringkat kumpulan.

Sementara itu, Hong Kong Dragon muncul pemenang tempat ketiga selepas menundukkan Sri Lanka 20-17.

Dalam perkembangan lain, pasukan wanita Hong Kong Dragon berjaya menebus kekecewaan skuad lelaki mereka apabila muncul juara selepas menewaskan jaguh Asia Tenggara, Thailand, 24-5.

Juara tahun lalu, Sri Lanka pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas mengalahkan Singapura 29-5.