Skuad ragbi 15's negara terpaksa membayar harga mahal untuk memberi tentangan kepada Korea Selatan dalam aksi pembuka tirai divisyen Kejohanan Ragbi Asia Premier 2018 semalam apabila sebilangan besar pemain dilanda kecederaan.

Malaysia dalam kesukaran ketika memastikan Korea perlu berusaha keras untuk merekodkan kemenangan 35-10 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Difahamkan, laporan pasca perlawanan menyaksikan sekurang-kurangnya lima pemain negara mengalami kecederaan.

Antaranya Nathanael Tan mengalami retak rahang, Amirul Aqil Kamsol akan berehat panjang kerana mengalami konkusi dan Rosmanizam Roslan pula retak buku lali.

Ini ketika Malaysia dijadual akan bertemu Hong Kong 5 Mei ini bagi aksi kedua kejohanan.

"Terdapat ramai pemain yang mengalami kecederaan dan ia merisaukan kami. Tetapi Malaysia telah menyenaraikan 30 pemain dan berharap akan mendapatkan barisan terbaik untuk perlawanan akan datang," kata ketua jurulatih skuad ragbi negara, Lee Nyuk Fah.

Ketika Malaysia dijangka tewas menentang Hong Kong berdasarkan reputasi mereka, Nyuk Fah memberikan jaminan anak-anak buahnya akan tampil dengan aksi bertenaga seperti
menentang Korea.

"Malaysia perlu beraksi sebagai satu unit dan cuba memberikan yang terbaik di atas padang. Kami perlu mengelak daripada terikut-ikut rentak pasukan lawan," ujarnya.