Hasrat Malaysia mencipta kejutan dalam penampilan sulung di pentas Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2018 tidak kesampaian apabila tewas 35-10 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada skuad kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Lee Nyuk Fah, itu atas semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang perlawanan meskipun berdepan pasukan yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa.

Dalam aksi itu, Korea Selatan, yang berada di ranking ke-31 dunia, bermula garang apabila mendahului 8-0 seawal 10 minit pertama hasil penalti yang disempurnakan Oh Youn Hyung pada minit ketiga, diikuti try oleh Jang Jeongmin pada minit kesembilan.

Korea Selatan kemudian terus menggandakan asakan dan berjaya melebarkan mata menerusi penalti oleh Younhyung pada minit ke-21, diikuti penalti try (m-25) sebelum dia sekali lagi menyempurnakan penalti pada minit ke-37 bagi menjadikan kedudukan 21-0 dalam babak pertama.

Bersambung selepas rehat, larian deras Jeongmin di sebelah kanan berjaya memerangkap barisan pertahanan negara apabila mudah melakukan try pada minit ke-48 sebelum Youn Hyung menyempurnakan conversion seminit kemudian.

Sorakan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah seakan-akan memberi aura positif kepada barisan pemain negara yang berjaya bangkit mengutip mata pertama hasil try Timoci Vunimoku pada minit ke-61, diikuti conversion Syarif Aazwan Sudin seminit kemudian.

Malaysia terus bangkit memperkemaskan permainan dan berhasil menambah tiga mata selepas Syarif Aazwan tenang menyudahkan penalti, sekali gus menjadikan kedudukan 10-28.

Namun, di akhir babak permainan, Korea Selatan berjaya menambah mata menerusi try Kim Kwangsik dan conversion Youn Hyung.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Nyuk Fah berkata meskipun tewas, peluang berdepan Korea Selatan adalah satu pengalaman berharga buat skuad negara dan berbangga di atas semangat yang ditunjukkan barisan pemainnya dalam menyaingi kehebatan pasukan lawan.

“Ini adalah kali pertama Malaysia beraksi di pentas ARC dan ia menjadi satu penghormatan buat kami sepasukan dan seluruh peminat sukan ragbi tempatan.

“Saya rasa semua orang berasa bangga terhadap aksi hari ini, terutama selepas kita berjaya bangkit dalam separuh masa kedua untuk merapatkan jurang mata dan menentang pasukan seperti Korea Selatan, ia memberi kami pengalaman berharga yang dapat digunakan pada masa depan,” katanya.

Malaysia akan menentang pasukan di ranking ke-22 dunia, Hong Kong, pada 5 Mei di venue yang sama sebelum menamatkan baki dua lagi perlawanan berdepan lawan sama di Korea Selatan (19 Mei) dan Hong Kong (26 Mei).

-- BERNAMA