Walaupun pelantikannya selaku jurulatih baru skuad ragbi 15's negara diumum bulan lalu, Brad Mika mendedahkan beliau masih belum menandatangani kontrak bersama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Susulan peletakan jawatan Lee Nyuk Fah sejurus berakhirnya kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2018, KRM mengumumkan Mika sebagai pengganti.

Beliau sebelum ini menjawat tugas selaku pengarah teknikal pasukan di samping mengemudi pasukan ragbi Sabah.

Mempunyai perancangan tersendiri sekiranya pelantikannya dimuktamadkan, Mika bagaimanapun mengesahkan belum ada hitam putih mengenai kedudukannya sebagai jurulatih skuad negara dan hanya memberi tumpuan kepada persiapan Sabah untuk menghadapi Sukma Perak, September nanti.

"Saya masih menantikan terma dan syarat, seterusnya menandatangani kontrak. Maka, saya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini.

"Jika semuanya berjalan lancar, terdapat sasaran yang perlu dicapai.

"Saya percaya Kejohanan Ragbi Piala Agong pada November nanti akan menjadi aksi berbeza dan segalanya akan menjadi lebih mudah nanti," katanya.

Sementara itu, Mika melihat pembabitan skuad negara dalam saingan ARC banyak membantu pemain-pemain muda meraih pengalaman bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Cabaran lebih besar buat Mika ialah usaha merapatkan jurang dengan dua pesaing dalam ARC, iaitu Hong Kong dan Korea Selatan bagi musim 2019.

"Ia pengalaman baik buat pasukan kebangsaan untuk mengharungi cabaran berbeza.

"Ia pentas berbeza kerana Malaysia berpeluang bertemu pasukan seperti Hong Kong dan Korea Selatan.

"Ia satu langkah besar. Hong Kong misalnya, mereka dibarisi pemain profesional sejak tiga tahun lalu. Ada boleh nampak perbezaannya," katanya.