“Saya mahu ikut jejak Shalin Zulkifli.”

Itu cita-cita juara dunia, Rafiq Ismail, yang mahu mencipta legasi tersendiri seperti mana yang dilakukan ratu boling negara itu satu hari nanti.


Rafiq tiba di tanah air semalam selepas mencipta sensasi memenangi pingat emas dalam acara perseorangan Kejohanan Dunia apabila menewaskan Dan MacLelland dari Kanada, Sabtu lalu.

Ternyata 2018 menjadi tahun terindah buat anak muda berusia 21 tahun itu yang turut memenangi satu emas dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu, bagi kategori masters.

Sedar laluan kariernya masih panjang, Rafiq tidak mahu menganggap dia sudah memiliki segalanya dan tetap menghormati senior lain seperti Shalin.

"Bagi saya, kekal merendah diri itu penting. Hormat orang lain serta pihak lawan. Usaha harus diteruskan tanpa mengenal erti putus asa.

"Saya ada memberitahu Shalin bahawa saya ingin jadi sepertinya. Kejayaan ini adalah salah satu langkah untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Selain Rafiq, dua pemain yang pertama kali digandingkan, Adrian Ang dan Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, turut mencuri perhatian.

Adrian selaku pemain senior begitu teruja dengan potensi Ameerul yang dilihat bakal menjadi prospek terbesar selepas Rafiq dan ia satu petanda skuad boling negara tidak akan ketandusan pemain.

"Ameerul sangat hebat, terutama dalam memainkan peranannya. Saya berbangga memilikinya dalam pasukan. Dia telah membuktikan kepada dunia bahawa dia mampu walaupun baru berusia 19 tahun. Memang hebat," kata Adrian.

"Pada awalnya memang gemuruh melihat pencabar lain tetapi saya cuba tenangkan diri," tambah Ameerul pula.