Kekalahan dalam Kejohanan Boling Tenpin Kebangsaan awal bulan ini memberi kesedaran kepada jaguh boling negara, Rafiq Ismail, bahawa masih banyak yang harus diperbaiki menjelang Jelajah Persatuan Pemain Boling Tenpin Profesional (PBA), bulan ini.

Sebelum ini, kehebatan hayunan tangan kidal Rafiq terkandas apabila hanya mampu meraih tempat keempat dalam Kejohanan Kebangsaan awal bulan ini, yang dimenangi rakan sepasukan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Bagaimanapun, Rafiq tidak mengeluh, sebaliknya mencari jalan memperbaiki prestasi permainan bagi menghadapi tiga kejohanan Jelajah PBA dari 24 hingga 31 Ogos ini.

"Kekalahan dalam kejohanan sebelum ini akan saya ambil sebagai motivasi untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan ketika menghadapi Jejalah PBA nanti," katanya.

Juara dunia 2018 itu yakin dengan latihan yang dijalani, dia mampu meraih sekurang-kurangnya kedudukan empat terbaik dalam saingan tersebut.

"Sasaran saya menghadapi Jelajah PBA ini adalah melangkah pusingan demi pusingan sementara memperbaiki balingan dalam setiap perlawanan."

Setakat ini, Rafiq berjaya menjuarai tiga kejohanan antarabangsa, antaranya Terbuka Singapura, Terbuka Hong Kong dan Jelajah Masters Eropah di Madrid, bulan lalu.