Di sebalik usia muda, Rafiq Ismail dan Amy Kwan Dict Weng mahu terus menawan dunia selepas ditabal sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2018.

Pada usia 22 tahun dan sudah memenangi gelaran dunia serta pingat emas Sukan Asia, apa lagi yang ada untuk ditawan Rafiq?

Selain mahu terus berpijak di bumi nyata dan mengerah kudrat untuk skuad negara, terdapat gelaran peribadi yang menjadi idaman Rafiq.

"Saya menyasarkan gelaran dalam saingan profesional, itu merupakan impian setiap pemain boling tenpin dan saya berharap mimpi akan menjadi kenyataan," kata Rafiq.

Bagi Amy, dia mahu membuktikan diri sebagai gimnas terbaik Malaysia selepas sekian lama menyepi daripada pembedahan dan pemulihan kecederaan buku lali kiri.

Dia kini perlu bersaing dengan dua lagi gimnas elit negara, Izzah Amzan dan Koi Sie Yan, untuk meraih dua tiket ke Sukan SEA Filipina 2019.

"Keadaan buku lali saya semakin pulih dan saya berharap untuk kembali berlatih untuk beraksi dalam Sukan SEA Manila hujung tahun ini," katanya.

Rafiq dan Amy diumumkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2018 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara, malam tadi.