Bekas gimnas negara, Rachel Lau, dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bagi penggal 2019-2021 dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan berkenaan hari ini.

Rachel, 33, menang tanpa bertanding jawatan presiden MGF selepas penyandang, Datuk Jaya Al Bakri, tidak mempertahankan kedudukan tersebut.

Rachel akan dibantu Timbalan Presiden, Kau Jit Kaur, dan tiga naib presiden, iaitu Tengku Ahmad Ridhwanuddin, Al Hambra Tun Juhar dan Dr Farrah Hani Imran manakala Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik dilantik sebagai bendahari dan Jimmy Tan kekal selaku setiausaha agung.

Jawatan naib presiden yang dipertandingkan dalam AGM hari ini menyaksikan Al Hambra mendapat sokongan tertinggi sebanyak 39 undi manakala Tengku Ahmad Ridhwanuddin memperoleh 32 undi. Dr Farrah Hani pula dipilih kerana beliau merupakan satu-satunya calon wanita bagi jawatan tersebut.

Rachel berkata kepimpinan baharu itu terdiri daripada pemimpin perniagaan berkelayakan daripada pelbagai sektor korporat dan beliau berjanji untuk memperkenalkan tahap ketelusan berbeza terhadap persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan tadbir urus lebih baik dalam MGF.

Beliau juga mempertimbangkan untuk membawa masuk bekas atlet bagi memegang jawatan jurulatih tatkala melihat senario itu sebagai sesuatu yang positif buat negara.

"Kami juga mahu mendapatkan jurulatih tempatan yang sangat berbakat atau mungkin bekas atlet yang mahu menyumbangkan tenaga buat negara. Memang ada yang menyatakan hasrat dan kami sangat berbesar hati," kata Rachel.

"Sasaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Sukan SEA 2019 adalah lapan pingat emas. Saya rasa kami menerima sokongan yang bagus daripada MSN. Jika semua atlet yang kami sasarkan untuk meraih emas mampu melakukannya, saya rasa sokongan itu akan bertambah."

Untuk rekod, Rachel mewakili Malaysia dalam gimnastik berirama dalam pelbagai kejohanan, termasuk Piala Kasaagi, Piala Snow, Kejohanan Kebangsaan, Sukan Malaysia (Sukma) dan Sport Excel.

Beliau pernah menduduki tempat kedua dan ketiga dalam beberapa kejohanan. Beliau mengambil keputusan mengundur diri daripada sukan gimnastik ketika berusia 16 tahun selepas meraih tempat kedua dalam Sukan Sekolah-Sekolah Asia.