Pemain skuasy negara, Rachel Arnold, perlu memberikan persembahan terbaik bagi memperbaiki kedudukan ranking dalam usaha untuk beraksi dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Selepas membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Rachel mahu kembali bersaing dalam temasya itu serta mencipta kejayaan buat negara.

Ketika ini, Rachel bergelut untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia dan semakin kesuntukan masa.

Atlet berusia 20 tahun itu perlu mencipta keputusan memberangsangkan dalam Terbuka Manchester untuk mendaki ke dalam kelompok 40 terbaik dunia sebelum berakhir musim 2017.

“Saya akan menyertai Terbuka Manchester bagi mempertingkatkan ranking dan berharap untuk mempamerkan aksi yang cemerlang,” katanya.

Rachel menyifatkan tanggungjawab yang lebih besar harus dipikulnya bersama rakan sepasukan yang lain selepas kakaknya, Delia Arnold, mengambil keputusan untuk bersara, Januari lalu.

Selain itu, masalah kecergasan menjadi penghalang Rachel untuk mempamerkan aksi cemerlang, sekaligus memberikan kesan kepada ranking semasanya.