Universiti Antarabangsa Quest Perak (QIUP Eagles) dan SMK Gunung Rapat Highlander muncul juara kategori lelaki dan wanita Liga Hoki Perak TNB-Quest 2018 yang berakhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

QIUP Eagles menumpaskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2-0 manakala Highlander menundukkan Landak Hoki Muallim (UPSI) 8-0.

Eagles yang diperkasakan oleh lima bekas pemain kebangsaan, iaitu Izad Hakimi Jamaluddin, Roslan Jamaluddin, Baljit Singh, Herwan Pami, Khairul Nizam Rani serta pemain remaja kebangsaan, Azrai Aizat, nyata terlalu gagah buat lawan.

Mereka mendahului pada suku kedua melalui jaringan ' pemain terbaik perlawanan akhir', Muhammad Azraiaizad Kamal, pada minit ke-14.

Jasvinder Singh mengukuhkan kedudukan Eagles melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-25 untuk membantu pasukan meraih hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan pingat.

Kesungguhan pemain muda MBI nyata tidak mencukupi buat mereka menggugat lawan dan terpaksa berpuas hati dengan RM2,000.

Anderson Tiger menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Landak Hoki Muallim 3-1 melalui penentuan penalti selepas kedudukan terikat 1-1.

Sementara itu Highlander nyata terlalu gagah buat Landak dalam kategori wanita apabila mendahului 6-0 dalam babak pertama.

Fatihah Hanim Mohd Zaki serta Siti Anis Uzwa Samsudin berkongsi tujuh gol di kalangan mereka.

RPS Bravo menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Quicksilver 1-0.