Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menegaskan mereka tetap memiliki wakil untuk dihantar ke Sukan Asia 2018 pada Ogos depa, tatkala sandaran utama masih lagi tertumpu kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Muhammad Fuad Redzuan.

Enam peninju, termasuk Fuad, berada dalam senarai yang akan dipersiapkan bagi menghadapi Sukan Asia di Indonesia, sekali gus menolak spekulasi bahawa Malaysia tidak akan menghantar atlet tinju sebagaimana situasi yang dihadapi ketika Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

Bagaimanapun, daripada enam, hanya tiga peninju yang akan dipilih berdasarkan prestasi semasa dan ia hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kami tidak boleh cerita sebab panel pemilihan akan diadakan di MOM, cuma tidak tahu bila. Persatuan hanya akan membentangkan kriteria atlet yang ditetapkan. Jadi, kami perlu ikut kriteria tersebut," kata Setiausaha Kehormat PTAM, Mohd Shamsul Deran.

PTAM juga menjelaskan tahap kesihatan Fuad kini bertambah baik selepas dia dinasihatkan untuk menarik diri daripada saingan Sukan Komanwel kerana retak tulang pipi pada Februari lalu.

Jadual persiapan untuk barisan peninju negara juga telah diatur, yang menyaksikan kejohanan terdekat adalah saingan Terbuka Thailand di Bangkok bulan depan dan Kejohanan Jemputan Sulawesi di Indonesia pada Julai.

"Insya-Allah. Kalau ikut doktor, dia hanya memerlukan rehat selama enam minggu dan dia juga sudah membuat pemeriksaan perubatan. Tiada masalah. Kami menunggu perancangan latihan dan pertandingan seterusnya," katanya lagi.