Astro Arena akan membawakan semua 18 perlawanan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2018 (PSAS) secara langsung dan eksklusif di saluran 801 & 802HD.

Astro Arena, selaku penyiar rasmi PSAS, akan memulakan liputan menyeluruh pada 3 hingga 10 Mac ini dengan menyiarkan tiga perlawanan secara langsung dengan liputan aksi pembukaan di antara Argentina dan India jam 4.00 petang, diikuti Australia bertemu England pada jam 6.00 petang.

Skuad kebangsaan pula akan melayani Ireland pada jam 8.30 malam itu yang turut dibawakan secara langsung.

Pastikan anda bersama pengulas dan pakar hoki negara seperti Zainal Abidin Rawop, Shaukei Kahar, Datuk Mirnawan Nawawi dan Mohamad Abdul Hadi yang akan menemani anda sepanjang kejohanan berlangsung.

Selain itu, Astro Arena akan menggunakan 14 kamera berbanding 12 kamera pada edisi lalu.

Dalam perkembangan lain, Astro Arena akan turut menyiarkan beberapa temasya sukan berprestij seperti Sukan Komanwel, Gold Coast pada April, Piala Dunia 2018, Russia pada Julai dan Sukan Asia 2018, Jakarta Palembang pada Ogos nanti.