Jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak gusar dengan siri kecederaan yang menimpa beberapa tonggak dalam skuadnya ketika beliau masih lagi menilai senarai akhir 18 pemain yang akan dibawa ke Ipoh, Perak bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan.

Van Huizen masih memerlukan masa untuk membuat penilaian dan hanya akan memutuskan barisan terbaik Malaysia selepas bertemu pasukan Argentina dalam aksi persahabatan pada 26 dan 27 Februari ini.

Meskipun keutamaan The Malaysia Hockey Tigers adalah Sukan Komanwel, iaitu hanya tiga minggu selepas berakhirnya Piala Sultan Azlan Shah, jurulatih itu tidak mahu pasukannya menamatkan cabaran di tempat tercorot seperti edisi 2017.

"Beberapa pemain masih lagi menjalani proses pemulihan dan tidak dapat beraksi dalam saingan PSAS kerana memberikan keutamaan kepada Sukan Komanwel," katanya.

Skuad negara juga meletakkan diri mereka sebagai underdog kerana ranking pasukan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan lima negara lain yang turut mengambil bahagian, iaitu Australia, Argentina, India, England dan Ireland.

"Kita menghadapi cabaran yang sukar berdepan pasukan-pasukan terbaik dunia dan Malaysia selaku underdog akan cuba melakukan kejutan," kata kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

"Kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan tanpa menghiraukan kedudukan mereka dalam ranking dunia," kata pertahanan negara, Syed Syafiq Syed Cholan.