Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilihat bersedia untuk memberi pertimbangan bagi menghidupkan semula Program Rakan Sukan yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika era 90-an.

Ia bertujuan mengurangkan beban Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membiayai program latihan dan elaun atlet negara selain menggalakkan semua agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut berusaha mencari dana.

"Sebentar sahaja tadi, ada perbincangan dengan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, dan kami melihat mungkin ia keperluan untuk kembalikan program ini.

"Maklumat lanjut diperlukan kerana saya tidak mahu mewujudkan sebarang perkara yang bercanggah dengan kehendak kementerian yang sedia ada," kata Syed Saddiq.

Sidang media pertama Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan hari ini juga tertumpu kepada beberapa perkara lain, antaranya status program sukan di bawah kementerian itu seperti Program Podium dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

"NFDP adalah satu program yang sangat bagus dan ia memberi impak besar kepada beribu-ribu orang, termasuk ibu bapa. Secara kasar, perkembangan yang bagus perlu diteruskan."

Pada hari pertama memulakan tugas, Syed Saddiq telah bertemu kakitangan kementerian itu dan mengadakan lawatan ringkas yang diiringi Lokman, sebelum menerima kunjungan mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.