Majlis Sukan Negara (MSN) masih menunggu maklum balas satu persatuan lagi untuk memulakan proses cadangan penambahbaikan Program Podium, dengan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Adam Daud, memohon terus dikekalkan dalam program sukan termahal negara itu.

Sejumlah 14 daripada 15 persatuan sukan kebangsaan sudah memberi maklum balas kepada MSN.

Ia susulan proses bedah siasat Program Podium minggu lalu sebelum MSN memulakan proses cadangan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Begitupun, MSN terpaksa menangguhkan proses cadangan kerana beberapa persatuan gagal mematuhi tarikh tutup Selasa lalu.

Ia secara tidak langsung mencerminkan sikap dan cara kerja pegawai persatuan sukan kebangsaan.

"Masalah terbesar adalah di dalam Program Program itu sendiri, bukannya di luar.

"Kalau Program Podium dikeluarkan dan diberikan mandat sendiri, saya kira lebih elok," kata Nik Razeen.

Menurut pengurus skuad berbasikal negara, Firdaus Arshad: "Penambahbaikan diperlukan untuk kita merealisasikan pingat emas dalam Sukan Olimpik.

"Kami menumpukan tiga acara untuk menghadapi Sukan Olimpik nanti."

Sementara itu, ketua jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, menaruh harapan sukan itu dikekalkan dalam Program Podium.

"Kami masih menanti keputusan Program Podium daripada pihak menteri untuk menyambung kontrak baru," katanya.

Program Podium yang diwujudkan bagi misi pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo sudah pun menelan kos RM67 juta tetapi gagal mencapai sasaran kelompok 10 negara terbaik dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Antara yang dicadangkan oleh pemerhati sukan negara ialah program itu dipindahkan di bawah kendalian MSN atau atlet yang tidak terbabit dengan Sukan Olimpik digugurkan.