Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, sekali lagi mengulangi mengesyorkan supaya Program Podium dibubarkan selepas kegagalan berada dalam kalangan 10 terbaik Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Mazlan tidak bersetuju dengan idea mengekalkan Program Podium sementara sukan-sukan lain yang tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik bakal digugurkan.

Beliau bimbang persatuan sukan yang tidak lagi berada dalam Program Podium akan berkecil hati sedangkan mereka telah menjadi penyumbang utama pingat negara dalam Sukan Asia atau Sukan Komanwel.

Maka pemansuhan Program Podium adalah langkah paling adil dan sebagai ganti, beliau mencadangkan pengkhususan program berdasar temasya akan disertai terutama ke Olimpik Tokyo 2020.

"Terdapat perkara positif jika Program Podium dibubar dan melancarkan program baru bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo," kata Mazlan.

Mazlan dalam pada itu masih mempertahankan badminton sebagai taruhan utama buruan emas di Tokyo walaupun gagal memberikan sebutir pingat di Sukan Asia.

Justeru, beliau berasakan bantuan secara khusus kepada badminton masih perlu diteruskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Badminton sukan yang memberikan peluang dan harapan untuk meraih emas dalam Sukan Olimpik."