Pemerhati sukan negara, Datuk Sieh Kok Chi, menyeru persatuan sukan kebangsaan yang tidak terbabit dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 supaya tidak memboikot arahan memberi maklum balas terhadap proses bedah siasat Program Podium menjelang tarikh akhirnya esok.

Kerjasama persatuan sukan kebangsaan penting untuk memastikan proses bedah siasat Program Podium berjalan lancar.

Antara yang tidak terbabit dengan pemburuan pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo ialah skuasy, boling tenpin, silat dan boling padang.

Pegawai persatuan pula tidak patut berkecil hati jika sukan mereka diketepikan kerana mereka harus faham dengan matlamat penubuhan Program Podium.

"Saya berikan contoh, kalau seseorang itu membeli tiket ke Ipoh, dia harus turun di stesen Ipoh, kerana apa gunanya turun di Pulau Pinang kerana tiada apa yang boleh dilakukan di sana.

"Bagi atlet Program Podium, macam mana pun mereka perlu merebut tiket ke temasya Tokyo 2020.

"Berlainan pula dengan atlet yang bukan dalam acara Sukan Olimpik, perjalanan mereka terhenti setakat Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

"Oleh itu, peruntukan untuk atlet-atlet bukan Sukan Olimpik perlu disalur ke program berlainan," katanya.

Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mendapatkan maklum balas persatuan sukan kebangsaan sebelum membuat rumusan cadangan penambahbaikan program sukan termahal negara itu.

Cadangan itu akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, sebelum langkah susulan diambil.