Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nik Mohd Azwan Zulkifli, kecewa dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkannya daripada Program Podium tatkala dia dan rakan sepasukan sedang berjuang untuk Malaysia di pentas Le Tour de Langkawi (LTdL).

Nik Mohd Azwan mendedahkan dia mendapat perkhabaran berkenaan sehari sebelum saingan di peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL), Jumaat lalu.

Selain dia, 11 nama atlet berbasikal lain yang turut digugurkan antara rakan sepasukan, Danial Haikal Edy Suhaidee dan Muhd Ameer Ahmad Kamal.

MSN menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) pada Khamis lalu bertindak menggugurkan 12 pelumba gara-gara gagal mencapai prestasi yang diharapkan sepanjang 2019.

Pelumba berusia 29 tahun itu yang mewakili atlet digugurkan masih berharap ada ruang buat dirinya merayu biarpun ketika ini MSN dan PKBM tidak berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan barisan atlet yang digugurkan.

"Kalau boleh saya mahu membuat rayuan demi masa depan atlet berbasikal lebuh raya bagi menghadapi Sukan SEA yang akan datang.

"Kalau tidak mempunyai pelantar program yang betul, bagaimana Malaysia akan mencapai kejayaan?

"Tidak boleh hanya menyenaraikan pelumba pada saat-saat akhir sahaja.

"Pembentukan pasukan perlu dilakukan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri Abdul Karim, Jumaat lalu.

Mengulas mengenai persembahan skuad negara dalam saingan LTdL, dia mengakui gandingan sedia ada gagal mencapai sasaran untuk muncul pasukan terbaik Asia tetapi beberapa pelumba kebangsaan masih mampu mencabar apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik di beberapa peringkat menerusi Annuar Manan dan Izzat Hilmi Abdul Halil.

Skuad Malaysia menamatkan edisi ke-25 perlumbaan itu di tangga ke-17 keseluruhan daripada 21 pasukan yang bertanding.

"Secara keseluruhannya, ini merupakan kayuhan terbaik kami.

"Kami meraih kedudukan keempat dan muncul pelumba Asia terbaik di peringkat hari ini (dari Dataran Lang ke Kuah, Langkawi Jumaat lalu).

"Sebelum ini kami tidak pernah meraih keputusan seperti ini."

Editor: Shaiful Shamsudin