Pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Fatehah Mustapa, adalah antara atlet yang bakal digugurkan daripada Program Podium setelah gagal menepati petunjuk prestasi utama (KPI) ketika saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Tiada tempat untuk mana-mana atlet yang gagal menepati sasaran di Gold Coast 2018 untuk kekal dalam Program Podium menjelang pengumuman prestasi terkini atlet negara, bulan depan.

Situasi itu diadakan bagi menepati objektif utama untuk melahirkan atlet bertaraf juara di peringkat terkini, terutama melibatkan atlet yang berada dalam program berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi, berkata ia turut melibatkan Fatehah yang digugurkan daripada skuad Sukan Asia 2018 oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), baru baru ini.

"Saya rasa mana-mana atlet Podium yang gagal melayakkan diri untuk bertanding dalam sukan utama, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, seharusnya faham akan kedudukan mereka di dalam Program Podium," ujarnya.

Dalam masa sama, peluang terakhir diberikan kepada tiga atlet olahraga, iaitu Nauraj Singh, Mohd Hakimi Ismail dan Irfan Shamsuddin dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta/Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Sekiranya ketiga-tiga atlet itu gagal menamatkan cabaran di Indonesia dengan kilauan pingat, pihak Program Podium terpaksa menggugurkan nama mereka daripada sebarang keistimewaan selaku atlet berprestasi tinggi.

"Buat atlet-atlet olahraga yang tidak menghadirkan pingat ketika Sukan Komanwel, aksi di Jakarta adalah peluang kedua buat mereka. Mereka mesti membawa pulang pingat," katanya.

Keputusan drastik itu dilakukan bagi mengesan atlet yang benar-benar bersedia menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain ia merupakan ujian sebenar Program Podium yang mencecah usia tiga tahun.