Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerima cadangan proses bedah siasat buat Program Podium dengan bayangan separuh daripada 148 atlet akan digugurkan tatkala atlet yang terbabit dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada dalam kedudukan selamat.

Pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) sudah melengkapkan rumusan cadangan hasil bedah siasat Program Podium.

Antara yang dicadangkan adalah atlet yang terbabit dengan kempen kelayakan Olimpik Tokyo perlu dikekalkan dengan tumpuan diberikan kepada sukan harapan, iaitu badminton, terjun dan berbasikal trek.

Kedudukan atlet yang tidak terbabit dalam Olimpik Tokyo seperti skuasy dan tenpin boling akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Sekarang fokus diletakkan untuk persediaan bagi menghadapi saingan Olimpik 2020. Ada beberapa atlet yang layak seperti badminton, hoki, karate-do serta berbasikal yang akan diberi tumpuan.

"Ia tidak bermaksud sukan-sukan lain akan diketepikan, termasuk persediaan untuk aksi Sukan Asia 2022, di mana perlu dilakukan lebih awal," kata Syed Saddiq.

Beberapa atlet daripada Program Podium menyatakan rasa kecewa apabila kontrak mereka ditamatkan selepas Sukan Asia 2018 dan situasi itu menyebabkan mereka tidak berlatih dan menyertai kejohanan luar negara.

Turut dicadangkan MSN mengambil-alih Program Podium tetapi dengan dana yang lebih kecil.

"Memang akan ada pertimbangan semula daripada segi kos tetapi dalam masa sama, ketetapan itu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada jemaah menteri," tambahnya.

Sementara itu, pelantikan tokoh perniagaan, Tan Sri Tony Fernandes, sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) diharap dapat mengurangkan kerugian badan itu sebanyak RM11 juta setakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman, mendakwa kerugian itu berpunca daripada kos operasi yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun, jumlah itu paling rendah sejak beliau mengambil-alih PSM pada 2015.

"Matlamat utama kami sekarang adalah memastikan kos itu dikawal serta mendapatkan lebih pendapatan.

"Kami berasa pelantikan Tan Sri Tony oleh menteri adalah satu langkah yang bagus kerana ia boleh membantu meningkatkan prestasi PSM," ujar Azman.

"Sebelum ini jika dilihat, kedudukan itu diduduki oleh satu lantikan politik. Kini, tiada lagi lantikan sebegitu dalam mana-mana badan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Jika dibanding Tan Sri Tony dan pemegang terdahulu, ia satu beza yang besar," tambah Syed Saddiq.