Program Podium 2.0: Mazlan kecewa dengan pendekatan baru

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 470
Program Podium 2.0: Mazlan kecewa dengan pendekatan baru
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, kecewa dengan Program Podium 2.0 yang dilihat merosakkan ekosistem sukan kebangsaan apabila atlet diberi lebih banyak kuasa, sekali gus melangkaui kuasa pegawai persatuan dan jurulatih.

Pendekatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang membuka akses terus kepada atlet akan mewujudkan pelbagai masalah pada masa depan.

Ini kerana sukan Malaysia memiliki sistem tersusun yang membabitkan atlet, jurulatih, pegawai dan pemegang taruh lain yang mempunyai kepentingan masing-masing.

Malah, katanya, menteri patut lebih fokus terhadap aspek kewangan dan Dasar Sukan Negara berbanding terbabit dengan isu kontrak atau masalah berat badan atlet.

"Menteri Belia dan Sukan perlu bijak. Beliau tidak boleh menerima dengan bulat-bulat apa yang disampaikan oleh atlet. 

"Atlet perlu ikut saluran yang ada. 

"Saya selalu mengingatkan kepada pegawai MSN bahawa kalau mereka mempunyai kuasa, duit dan undang-undang sekalipun tetapi tanpa persatuan sukan, MSN tidak memiliki peranan. 

"Ramai orang salah faham bahawa dengan adanya duit, mereka boleh kawal semuanya. Itu tidak benar. 

"Saya pernah terlibat dalam persatuan sukan. Pada masa itu, MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum wujud tetapi kami masih boleh mencari jalan untuk teruskan perjuangan. 

"Jangan silap tentang itu, tolonglah," ujarnya.

Mazlan adalah antara individu yang mewujudkan Program Jaya 98 yang menjadi teras perkembangan sukan di Malaysia.

Beliau memainkan tugas penting ketika Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001 sebelum bersara pada 2005 dengan meninggalkan MSN dengan dana sebanyak RM300
juta. 

"Sepatutnya tiada bantuan langsung kepada atlet yang berlengah untuk menandatangani kontrak dengan MSN.

"MSN perlu berikan tempoh tertentu dan kalau atlet enggan tandatangani kontrak ditawarkan, maka MSN perlu gugur atau hentikan bantuan kepada mereka," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen