Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefri Krishnan, percaya dengan peluangnya untuk mengumpul lebih banyak mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sepanjang program latihannya di Amsterdam, Belanda.

Misi Syakilla untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bermula selepas dia berlepas ke Frankfurt, Jerman hari ini.

Dia akan berlatih di sana terlebih dahulu sebelum menyertai pertandingan Siri K1 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan pada 15 hingga 17 Februari ini.

Selain itu, dia turut akan mengambil bahagian di Rabat, Maghribi, disusuli dengan Siri A K1 di Salzburg, Austria sebulan kemudian dengan semua pertandingan itu menawarkan mata kelayakan Olimpik.

Program latihannya pula akan lebih tertumpu di Amsterdam dan juga Rotterdam sepanjang dia berada di Eropah sehingga April depan.

"Saya sangat teruja kerana berlatih di sana. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik dalam kejohanan pertama di Dubai," katanya.

Syakilla mampu mengesahkan slot ke Sukan Olimpik lebih awal sekiranya dapat berada dalam kelompok empat terbaik dalam kategorinya menjelang 6 April tahun depan.

Andai tidak dapat berbuat demikian, peluang masih terbuka dengan kejohanan kelayakan di Paris, Perancis selain siri kelayakan Asia yang menawarkan tiga slot ke Olimpik.

"Setakat ini, saya yakin mampu mengejar slot ke Sukan Olimpik. Saya perlu mengutamakan aspek teknikal bagi memastikan mata ke Tokyo 2020 dapat diraih," ujarnya.