Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan sebarang pencalonan atau pemilihan pucuk pimpinan sesebuah persatuan sukan kebangsaan, jelas Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad.

Beliau berkata individu yang tidak berpuas hati selepas pemilihan pucuk pimpinan persatuan boleh membuat aduan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan sukan masing-masing dan jika tidak dilayan, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

"PJS tiada peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 untuk membuat keputusan berhubung pemilihan. Seksyen 23 Akta menjelaskan semua pertikaian dalaman perlu diselesaikan mengikut prosedur dalaman.

"PJS biasanya menasihatkan badan sukan supaya ikut prosedur dalam perlembagaan mereka sendiri. Kami bukan penguatkuasa yang menguatkuasakan akta, kami lebih kepada badan yang mentadbir akta," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pemilihan AGM Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Sabtu lepas, yang ditangguh selepas badan induk itu mengambil kira kenyataan PPS yang mengesahkan berlaku ketidakakuran dan pelanggaran peraturan dalam proses pencalonan.

Asmadi menjelaskan peranan PPS di bawah pentadbiran akta merangkumi pendaftaran, penggantungan, pembatalan dan pelesenan sesebuah persatuan sukan kebangsaan.

"Ramai orang awam tidak faham peranan kami menyebabkan kami dipersalahkan kerana tidak ambil tindakan. Jika kami salah ambil tindakan mereka boleh saman PJS. Sebab itu, kami amat berhati-hati dalam mengambil tindakan," katanya.

Untuk rekod, PPS pada 25 Jun lalu menerima aduan daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) berhubung bantahan terhadap pencalonan dalam AGM MPM, Sabtu lalu.

Namun, pemilihan MPM ditangguhkan selepas bermesyuarat selama satu setengah jam apabila majoriti anggota gabungan MPM bersetuju untuk memilih satu tarikh baharu yang akan ditetapkan PJS.

Berhubung perkembangan terkini kemelut itu, Asmadi mengesahkan PPS belum menerima sebarang permohonan tarikh baru untuk melaksanakan AGM dan pemilihan baru badan induk tersebut.

Mengikut perlembagaan, MPM akan menulis surat kepada PJS untuk mendapatkan tarikh baru sebelum memberi notis dalam tempoh 30 hari kepada anggota gabungan untuk hadir.

Ini bermakna AGM hanya boleh dilangsungkan seawal-awalnya Ogos ini, itupun bergantung kepada seberapa cepat surat permohonan tarikh baru itu diluluskan PJS.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid, ketika dihubungi berkata badan induk itu perlu mengadakan mesyuarat exco bagi membincangkan tarikh baru AGM untuk dikemukakan kepada PPS.

-- BERNAMA