Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng, hanya akan membuat keputusan sama ada mempertahan jawatan ataupun mengundurkan diri sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan, 12 Mei ini.

Poh Eng sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meninggalkan PABM dengan hati terbuka jika ada individu yang berminat menggantikan tempatnya.

Selepas tamat pencalonan oleh ahli gabungan PABM pada 28 April lalu, dia hanya memperoleh satu pencalonan manakala pencabarnya yang juga Timbalan Presiden, Datuk Ayub Rahmat, menerima 11 pencalonan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi menjelaskan belum ada keputusan buat dirinya sama ada ingin meneruskan pertandingan ataupun memberi peluang kepada pencabarnya.

"Saya akan berada di sana dan akan berbincang dengan individu yang ingin memegang jawatan itu.

"Kalau boleh saya tidak mahu berlawan tetapi saya harus bertindak profesional. Cuma, jangan sehingga separuh jalan dan mengubah fikiran," kata Poh Eng.

Poh Eng menerajui PABM sejak 2012 dan hasil jalinan kerjasama dengan beberapa negara seperti China serta Vietnam, atlet-atlet negara memperoleh manfaat menerusi program latihan di sana.