Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bakal berdepan tindakan tegas oleh Pesuruhjaya Sukan Negara (PJS) seandainya badan induk itu masih lagi berdegil untuk terlibat dengan segala aktiviti permotoran dalam negara.

PJS sekali lagi mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai kemelut pembatalan AAM daripada menjalankan sebarang aktiviti permotoran di Malaysia setelah melanggar beberapa perkara.

PJS sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan media mengenai pembatalan AAM, namun badan induk itu membidas dengan mendakwa bahawa mereka masih lagi sebuah persatuan yang sah dan diperakui oleh badan dunia seperti Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motorsikal Antarabangsa (FIM).

"AAM akan disabitkan kesalahan jika masih meneruskan sebarang aktiviti seperti yang dilakukan.

"Jelas sekali pelanggaran telah berlaku dan mereka boleh disabitkan kesalahan dan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

"Dan mereka akan didenda RM500 setiap hari sekiranya melanggar akta yang ditetapkan," jelas PJS, Datuk Zaiton Othman.

Dalam masa sama, sebuah badan lain yang akan mengambil alih pentadbiran sukan permotoran negara bakal diumumkan kelak.

Ini bermakna aktiviti permotoran yang berkaitan seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang sedang rancak berlangsung turut terjejas dan tidak boleh diteruskan.

"Saya menasihati AAM untuk melaksanakan fungsi mereka dalam tempoh pembatalan ini dengan meminta kelulusan khas daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Apa saja aktiviti yang sedang berlangsung (membabitkan AAM) merupakan satu pelanggaran terhadap akta," tambah beliau.