Kemelut yang melanda Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) akhirnya menemui jalan penyelesaian setelah Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, mengarahkan badan induk itu untuk mempercepatkan mesyuarat agung bagi memilih presiden dan meminda perlembagaan sedia ada.

Isu bermula apabila tujuh negeri yang bernaung di bawah MASCA mengusulkan undi tidak percaya terhadap presiden sedia ada, Datuk R. Subramaniam, yang didakwa gagal menunaikan manifestonya setelah menang pada pemilihan penggal yang lalu.

Subramaniam memegang jawatan presiden sejak dua penggal berturut-turut, bermula 2015 dan mempertahankannya pada 2017.

Zaiton, yang bertindak sebagai orang tengah, memberi tempoh selama 30 hari kepada MASCA untuk menyelesaikan kemelut itu dan dalam masa sama mahu badan itu segera meminda perlembagaannya setelah tidak mengikuti Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Saya meminta persatuan itu untuk menghantar lebih awal untuk perpindaan perlembagaan supaya ahli gabungan dapat mengenal pasti tentangnya dan bersetuju semasa mesyuarat agung nanti," kata Zaiton.

"Saya mengakui kelemahan dalam persatuan daripada segi urusan yang patut dilakukan mengikut manifesto yang saya keluarkan, empat tahun lalu. Jadi, mungkin apabila ada kekurangan, ia mencetuskan rasa tidak puas hati dalam gabungan," ujar Subramaniam pula.

Mesyuarat agung tahunan MASCA sepatutnya berlangsung pada Mac 2019, namun arahan mempercepatkannya dari tarikh asal memberi kelegaan buat pihak yang mengusulkan undi tidak percaya tatkala mereka mahukan nafas baru buat badan tersebut.

"Kami tidak berpuas hati dan pertelingkahan itu berlaku terlalu lama. Mereka tidak menepati manifesto yang dikeluarkan dalam mesyuarat agung pada 2015," kata Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu, Dzulkafli Abbas.

Sementara itu, Zaiton turut menjelaskan bahawa pihak Pesuruhjaya Sukan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan membabitkan isu dalaman Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang mengggantung Persatuan Karate-Do Pahang (KARAPAH).

Difahamkan, KARAPAH yang digantung sejak Jun tahun lalu telah pun menghantar surat kepada kementerian untuk meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rrahman, campur tangan.

PJS hanya boleh bertindak sekiranya menerima laporan rasmi daripada pihak KARAPAH atau KBS mengarahkan PJS menyiasat dan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut itu.

"Masalah dalaman sebegini perlu diselesaikan oleh badan itu sendiri kecuali jika pihak yang menjadi mangsa tidak berpuas hati dan ia boleh dibawa kepada kami agar boleh dibantu.

"Namun, saya difahamkan KARAPAH telah menghantar surat bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan dan kami akan melihat daripada situ," tambah Zaiton.