Saingan ping pong T2 Diamond 2019 kembali untuk edisi kedua dengan Johor Bahru menjadi salah satu daripada tiga siri pertandingan yang akan membuka tirai bermula esok.

Barisan pemain terbaik dunia bakal berhimpun dan berentap dalam 32 perlawanan bermula esok bagi tempoh empat hari dengan hadiah yang ditawarkan bernilai USD1.5 juta (RM6.1 juta).

Apa yang menarik, edisi kali ini turut menawarkan kutipan mata bonus untuk saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, termasuk beberapa perubahan format diadakan.

Saingan di Johor Bahru merupakan salah satu daripada tiga lokasi yang bakal diadakan dan selepas ini, China bakal menjadi destinasi kedua September depan sebelum Singapura melabuhkan tirai saingan dua bulan kemudian.

"Saya rasa tahun ini semua peminat akan menyaksikan sesuatu yang sangat berbeza berbanding musim sebelum ini. Saya rasa seluruh produksi penyiaran telah membuatkan kejohanan ini ke tahap yang lebih baik," Ketua Pegawai Eksekutif T2 Diamond, Jeff Chue.

"Kami juga cuba dapatkan detik dalam permainan yang tidak dapat diraih sebelum ini bagi kepuasan semua peminat."

Ikut perkembangan lanjut dalam Nadi Arena jam 7:30 dan 11 malam ini.