Tuan rumah, Perak, meraih permulaan cemerlang apabila membelasah wakil Indonesia, Inspire Medan FC, 17-0 dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 merebut Piala Nazhatul Shima di Stadium Indera Mulia Ipoh, sebentar tadi.

Tuan rumah nyata terlalu gagah buat lawan apabila mendahului 11-0 di babak pertama dan kemudian menambah enam gol walaupun memperlahankan rentak dalam separuh kedua.

Inspire hanya berupaya memberi saingan dalam lima minit pertama tetapi selepas itu kubu mereka runtuh.

Dalam perlawanan kedua di hari pertama itu, Nur Lyana Soberi dan Norhawa Mad Yassin masing-masing menyumbang hatrik sementara kapten, Nuraiin Syafika Omar, Nur Shazreen Munazli dan Dayang Nur Atasha Shahrulsani masing-masing meledakkan dua gol.

Baki gol Perak disumbang oleh Rabiah Bishriyah Abdul Kadir, Nur Hidayati Amirudin, Farahiyah Muhammad Ridzuan, Fatin Shahida Azmi dan Siti Nurkhaleeda Ismail.

Perlawaman seterusnya untuk tuan rumah ialah bertemu wakil Singapura, El Junior Westwood FC, pada jam 11.00 pagi esok.


Editor: Nafis Abdullah