Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) terus komited mencari bakat membarisi skuad kebangsaan menerusi penganjuran edisi ke-25 Piala MABA.

Piala MABA unik apabila saingan itu memberikan ruang buat bangsa lain di luar komuniti Cina untuk bersaing secara kompetetif.

Penganjurannya juga berjaya melahirkan bakat-bakat yang mampu diangkat sebagai tonggak skuad kebangsaan seperti B. Guganeswaran dan K. Satyaseelan yang pernah menjadi kapten untuk kempen-kempen penting Malaysia.

MABA juga berusaha mengekalkan kualiti kejohanan tersebut dengan tidak melakukan rombakan besar ke atas format saingan.

Lapan pasukan bertanding bagi edisi 2019, dengan Negeri Sembilan turun sebagai juara bertahan.

"Sebilangan besar atlet yang bersaing dalam sukan bola keranjang adalah daripada bangsa Cina. Kami cuba membuka ruang kepada komuniti bukan Cina untuk membuktikan kemampuan mereka dalam saingan Piala MABA," kata Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng.

"Semestinya kami mahu memperluaskan lagi sukan ini dan mahu menjelaskan sukan bola keranjang adalah untuk semua lapisan bangsa di Malaysia."