Michael Leitch dan Jamie Joseph mendedikasikan kemenangan hebat Jepun ke atas Scotland dalam saingan Piala Dunia Ragbi semalam buat semua mangsa Taufan Hagibi serta keluarga yang bersedih.

Skuad tuan rumah itu menang 28-21 dalam aksi di Yokohama itu, sekali gus mencipta sejarah melangkah ke suku akhir kejohanan buat kali pertama.

Jepun memenangi keempat-empat perlawanannya di laman sendiri dan selaku juara Kumpulan A, mereka bakal menentang Afrika Selatan di Tokyo, Ahad ini tatkala demam ragbi melanda negara itu.

Namun, kemeriahan itu direncatkan dengan kehadiran bencana alam yang meragut 20 nyawa, menurut laporan media tempatan, tidak termasuk mereka yang gagal dikesan serta jumlah hartanah yang mengalami kerosakan.

"Ia detik yang sukar dengan taufan tetapi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjayakan perlawanan ini. Buat mereka yang merana akibat taufan itu, perlawanan ini untuk anda," kata kapten Jepun, Leitch.

"Penyokong sangat hebat untuk kami. Seluruh jiwa kami adalah untuk mereka yang merana."

Pengendali Jepun, Joseph, berkata: "Anda boleh lihat sekeliling dan saksikan betapa istimewa detik ini buat pasukan dan negara.

"Sebelum saya bercakap tentang aksi di padang, saya mahu menyentuh semua pihak yang kehilangan ahli keluarga akibat taufan hari ini. Ia memberi motivasi tinggi buat kami. Kami bercakap tentangnya pagi ini sebagai satu kumpulan. Pemain benar-benar mahu bermain."

Leitch juga menambah, dia sangat berbangga dengan pencapaian Jepun selepas mendahului 28-7 dan menafikan kebangkitan Scotland dengan penuh bergaya.

"Sejak permulaan, kami beraksi sepenuh hati," tambah Leitch.

"Hari ini, tiada istilah teknik. Ia tentang emosi dan fizikal. Saya fikir kami tunjukkannya hari ini.

"Kami akan berikan segalanya dalam aksi seterusnya."

Jika Jepun mahu meneruskan kecemerlangan, mereka harus melepasi cabaran The Springboks -- seperti apa yang dilakukan empat tahun lalu di Brighton -- di mana ia dilihat sebagai pencetus kepada generasi hari ini.

Joseph teruja dengan prestasi terkini pasukannya, dengan berkata: "Pasukan saya telah melakukan persiapan yang benar-benar rapi untuk Piala Dunia dan memberikan segalanya setiap minggu. Namun, hari ini mereka telah berada di satu tahap yang berbeza.

"Mereka memberikan segalanya yang mampu, tidak kira pemain yang paling berpengalaman serta baru, mereka memberikan 150 peratus."