Pertembungan di antara Jepun dan Scotland bakal menjadi topik bualan paling hangat.

Taufan Hagibis, yang mendorong dua perlawanan Piala Dunia Ragbi awal hari ini dibatalkan, menjadi tumpuan hangat menjelang pertemuan Kumpulan A itu di Stadium Yokohama, esok.

Jika ia dibatalkan dan mereka perlu berkongsi dua mata tanpa catatan jaringan, maka ia akan mengakhiri perjuangan skuad bimbingan Gregor Townsend itu memandangkan Ireland berkemungkinan besar akan mengalahkan Samoa untuk merampas kedudukan pendahulu petang ini.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Rugby Scotland, Mark Dodson, berkata organisasi itu telah mendapatkan pandangan undang-undang untuk mengheret badan Ragbi Dunia yang menegaskan perlawanan tidak boleh dijadualkan semula.

Keputusan muktamad akan dibuat pada pagi hari perlawanan sedangkan Scotland memerlukan empat mata untuk memintas tuan rumah.

Jika perlawanan itu diteruskan, ia akan membuka kepada permainan yang melibatkan percubaan try yang banyak selain pemburuan mata bonus.

Tetapi jika mereka mengakhiri peringkat kumpulan di kedudukan yang sama, maka Scotland akan mara bersandarkan kemenangan rekod pertemuan.

Jepun akan turun berbekalkan tiga kemenangan, termasuk mengejutkan Ireland, yang mendorong jurulatih, Jamie Joseph, untuk mengatakan bahawa mereka lebih suka mengharungi perlawanan itu berbanding layak melalui 'pintu belakang'.

"Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa ini bukan sesuatu yang biasa berlaku," katanya, yang menyaksikan Jepun tersingkir di peringkat kumpulan di belakang Scotland empat tahun lalu walaupun menang tiga kali, termasuk kejayaan memberangsangkan ke atas Afrika Selatan.

"Kami telah mengharungi tiga perlawanan Test (persahabatan) dan ia meletakkan kami di kedudukan terbaik dalam kumpulan ini.

"Ia menuntut kerja keras daripada semua pihak. Untuk tahun ini sahaja, pasukan ini telah menjalani latihan pusat selama 240 hari.

"Semua anggota dalam skuad ini -- pemain dan kakitangan -- mahu mengharungi perlawanan Test."

Scotland, yang gagal beraksi garang dalam kekalahan perlawanan pembukaan kepada Ireland, bangkit menerusi kemenangan berturut-turut dengan mengalahkan Samoa dan Russia tanpa melepaskan satu mata sekalipun.

Greig Laidlaw akan memimpin skuad yang mara ke suku akhir 2015 itu sambil menyaksikan Michael Leitch kembali untuk mengetuai skuad Brave Blossoms itu.

George Horne, yang melakar hatrik ke atas Russia, pula perlu berpuas hati bersama Stuart McInally duduk di bangku simpanan.