NEW ZEALAND 46 IRELAND 14

Ketua jurulatih New Zealand, Steve Hansen, menganggap warisan negara itu dalam Piala Dunia Ragbi merupakan kunci ketika mereka menyingkirkan Ireland 46-14 untuk mara ke separuh akhir dalam kempen di Jepun, malam tadi.


All Blacks memasuki perlawanan itu dengan reputasi yang tercalar susulan kekalahan dalam dua perlawanan kepada Ireland, termasuk kekalahan 9-16 di Dublin ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada November 2018.

Bagaimanapun, juara bertahan dua kali itu jelas merupakan jaguh dalam pertemuan kali ini dengan merekodkan tujuh try untuk mengesahkan status mereka sebagai pasukan pilihan menjelang pertemuan dengan England, Sabtu depan.

Ireland, yang tidak pernah melewati peringkat suku akhir Piala Dunia, pantas dianggap kekurangan pengalaman daripada kaca mata Hansen.

"Pengalaman adalah perkara yang lucu, bukan? Apa yang telah anda lalui, itulah kuncinya," katanya.

"Ramai pemain muda kami terlibat dalam pasukan yang memenangi kejuaraan dalam saingan Super Ragbi, mereka pernah bermain dalam detik besar dan itulah sebabnya anda boleh memilih mereka dengan penuh keyakinan. Mereka bermain dengan baik dalam perlawanan Test, jadi sebab itulah kami memilih mereka.

"Ia satu perkara yang menarik. Semua orang bercakap mengenai bilangan pemain berpengalaman dalam skuad Ireland. Separuh daripada skuad 23 kami pula pernah bermain dalam kejohanan kalah mati dan memenanginya, itu perbezaannya bukan?

"Saya bukannya cuba berkelakukan tidak sopan sini dengan mengatakan semua ini, tetapi pengalaman Ireland bukannya dalam kemenangan manakala kami pula memiliki 11 pemain yang benar-benar berpengalaman untuk menang.

"Itulah sebabnya anda perlu berhati-hati apabila anda mula bercakap tentang pengalaman kerana kadang-kadang hanya kerana anda pernah bermain dalam jangka masa yang lama, maka anda fikir mungkin telah belajar banyak perkara, jadi anda tidak mahu menimba pengajaran lagi atau anda mungkin belajar tiada apa-apa pun mengenainya sepanjang jalan perjalanan.

"Saya berpendapat seperti itu ketika saya bermain -- saya tidak banyak belajar."

Ditanya apakah New Zealand telah beraksi dengan lebih baik kerana didorong oleh rekod pertemuan lalu, Hansen menjawab: "Saya tidak tahu jika anda menganggapnya begitu tetapi kami sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa kami pernah kalah kepada Ireland.

"Pasukan All Blacks tidak perlu diingatkan bahawa mereka telah tumpas dua perlawanan kepada Ireland daripada 38 pertemuan (sebetulnya 32). Mereka menyedarinya dan mereka tidak melupakannya.

"Kami mengingati kekalahan itu lebih daripada kemenangan yang pernah kami kecapi. Jadi, ia menjadi dorongan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sentiasa dibincangkan kerana semua orang tahu mengenainya."